|
Penglibatan Asing Dalam Industri Peruncitan, Impak positif dan Negatif jangka pendek dan jangka panjang kepada Negara
Bismillahhirrahmanirrahim.
Selawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, keluarga dan sahabat baginda seluruhnya.
Pada 28 Oktober 2009, saya berpeluang untuk menghadirkan diri dalam sesi perbincangan bersama barisan peneraju unggul bidang peruncitan Negara yang telah berpengalaman dan mempunyai focus dan hala tuju yang pasti seperti Dato’Ameer Ali Mydin, dan Dato’ Zahari Omar Pengarah Urusan UO SuperMart, Wakil Pasaraya Econsave, The Store dan beberapa orang lagi yang dipengerusikan oleh Datuk Zain bin Mohd Dom iaitu ketua Setiausaha KPDNKK. Perbincangan kami melibatkan Hala Tuju Pengedaran Perdagangan Serta Pindaan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Pengedaran Perdagangan Malaysia.
Seperti biasa, perasaan saya untuk menghadirkan diri amat hambar pada permulaan memandangkan saya tidak langsung diberi ruang masa untuk membuat sedikit penyelidikan. Saya hanya menerima fax pada lewat petang 26 Oktober 2009, dan saya tidak terus meneliti isi kandungan fax tersebut. Pada 27 Oktober 2009, lebih kurang jam 2 petang sekali lagi saya mendapat panggilan dari pihak KPDNKK samada saya dapat hadir atau tidak. Pada masa tersebut barulah saya teringat akan fax yang diterima dan bertanya bila sesi tersebut, apabila diberitahu akan diadakan pada hari Rabu 28 Oktober 2009, saya terus mengatakan yang saya tidak mempunyai masa dan tiada minat untuk hadir, sebelum meletak telefon saya sempat bertanya apa yang diperlukan dan apa yang saya boleh sumbangkan barulah saya rasa seperti saya perlu hadir, walaupun tidak untuk bercakap tetapi cukup sebagai pendengar.
Hala Tuju Pengedaran Perdagangan Serta Pindaan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Pengedaran Perdagangan Malaysia, tajuk ini apabila diteliti dan diperhalusi
Saya merasakan seperti perlunya kajiansecara menyeluruh memandangkan apabila pintu Negara dibuka seluas-luasnya, tanpa sekatan terperinci , takut nanti kita akan jadi peminta sedekah dibumi sendiri itulah detik pertama yang hadir di sanubari saya.
Pada hari Rabu, 28 Oktober 2009, kami sampai agak lambat ke Presint 2, Bangunan KPDNKK kerana hujan disepanjang jalan. Apabila sampai ke bilik mesyuarat, perbincangan telah bermula dan saya pun masuk mengambil tempat. Sambil memegang pensil dan kertas yang disediakan, saya mula menumpukan perhatian kepada suara yang sedang menyampaikan hujah. Tampak begitu bernas, penuh dengan fakta-fakta yang menyokong supaya pasaraya besar dan ‘superstore’ asing tidak perlu lagi dibuka didalam Negara ekoran daripada kelembapan ekonomi sejagat. Pada masa sekarang telah ada sebanyak 105 pasaraya besar asing yang beroperasi diseluruh Negara tidak termasuk ‘Superstore’ asing. Wah jumlahnya agak banyak didalam Negara kita dan mereka sedang menagih kerajaan supaya memberi kebenaran kepada mereka untuk menambah lebih banyak lagi pada masa sekarang dan akan datang. Mereka begitu mendesak dan kerajaan kita nampak seperti tidak mampu untuk menghalang.
Seorang demi seorang wakil mengeluarkan hujah masing-masing dengan begitu lancar kerana sudah pastinya mereka berpeluang menyuruh kakitangan membuat penyelidikan ataupun mereka sudah pastinya arif dalam memikirkan hal tersebut. Kami teruskan hajat kami sebagai pendengar yang baik, walaupun terkilan juga kadang-kadang mendengar hujah mereka disangkal, dan ditolak mentah-mentah oleh ‘speaker’(pengerusi majlis) bahawa hujah tersebut amat dangkal dan tiada fakta dan keterangan jitu.(Barulah saya tahu bahawa seorang peniaga disamping memberi tumpuan kepada perniagaan, perlu membuat kertas kerja terperinci tentang perjalanan perdagangan Negara, seperti berapa kedai dah tutup apabila sebuah pasaraya besar dibuka, berapa ramai jumlah penduduk yang membolehkan sebuah pasaraya besar dibuka disesuatu kawasan, apa yang terjadi kepada persekitaran sebelum dan selepas sesebuah pasaraya dibuka dan lain-lain lagi).
Pada mulanya saya tidak perasan akan kehadiran Datuk Ameer Ali Mydin duduk dikerusi dua dari kanan saya, kemudian apabila saya memasang telinga tenteng hujah yang dikeluarkan, membuatkan saya teringin untuk melihat siapakah yang bercakap. Hujah belaiau begitu bernas sama seperti rangkaian pasaraya milik beliau yang tumbuh dengan begitu gagah di Negara kita.
Sesi berjalan lebih kurang setengah jam tanpa ada minat untuk didengari oleh pengerusi majlis dan beliau mengatakan bahawa telah berlaku pembaziran masa emas beliau untuk mendengar hujah-hujah kami. Saya sedikit tersentak dan merasakan saya perlu bersuara, sekurang-kurangnya saya mencuba dan tak menyesal dikemudian hari. Saya berkata kepada diri sendiri aku perlu bersuara sekarang, dan dengan sedikit beremosi saya menempelak dengan mengambil contoh lokasi tempat perniagaan saya. Saya ingin memaklumkan kepada pengerusi bahawa ada perbezaan antara orang asing dan warga Negara. Saya amat menghargai dan sentiasa ingin memartabatkan produk keluaran Negara sendiri demi memastikan kekayaan dibumi Malaysia dinikmati bersama. Mereka orang asing datang melabur di Malaysia membawa “Brand” mereka, walaupun kita ada garis panduan, setakat mana kita mampu untuk memantau.
Fenomena pasaraya asing yang menggunakan taktik potongan harga rendah tidak dinafikan mampu meraih sokongan jitu dikalangan rakyat Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia yang sukakan keindahan dan kemewahan yang disediakan oleh mereka.
Harga yang ditawarkan kadang-kadang tidak masuk akal, sebagai contoh udang sederhana yang harganya sekitar RM13-14 sekilo, dijual dengan harga RM9.90 sekilo. Seperti biasa saya cuba menyiasat, siapakah pembekal udang kepada pasaraya asing tersebut. Setelah mendapat bukti yang nyata, jelaslah agenda mereka yang mengalah dahulu semata-mata meraih hasil yang menjamin keterushadiran mereka dibumi Malaysia. Sebenarnya harga dari pembekal adalah RM13.00 sekilo. Cuba anda bayangkan berapa peruntukan yang disediakan dan berapa lama potongan harga tersebut berjalan. Mereka sanggup rugi puluhan maupun ratusan ribu ringgit sebagai permulaan.
Apakah target mereka? Sebelum ini kita dihimpit isu kekurangan tepung di pasaran, selepas itu gula dipasaran. Barangan asas tertentu naik harga apabila tiba musim perayaan. Siapakah yang menjadi sasaran dan merasa sakit akibat senario yang berlaku. Saya yang menjalankan perniagaan pasaraya Halal amat tertekan kerana tiada bekalan gula sepanjang puasa sehingga sekarang. Rakyat dari golongan sederhana dan bawahan yang menjalani kehidupan bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan juga akan tersiksa dan terhimpit.
Keadaan sebegini kerap berlaku akhir-akhir ini. Cuba kita semua bayangkan apabila pasaraya asing sudah menguasai pasaran Negara dalam 20 tahun akan datang. Mereka sudah seperti raksasa yang mengganas dengan kuasa monopoli pembekal dan mempopularkan produk ‘jenama mereka”. Rakyat dan Negara terpaksa tunduk demi mendapatkan bekalan kehidupan atau mereka akan mengganas. Pada masa tersebut agaknya mudah ke untuk kita singkirkan mereka dan dengan kekuatan apa yang kita ada untuk membela diri sedangkan mereka sudah memonopoli.
Renungkanlah bersama, dan hargailah kewujudan rangkaian pembekal, pengedar dan peruncit warga Malaysia. Janganlah teruskan pembunuhan secara senyap kepada generasi yang akan datang. Berilah kita semua peluang untuk bersama-sama kecapi kekayaan dibumi sendiri. Kerajaan janganlah begitu cepat melatah, mengubah polisi akibat desakan asing yang matlamatnya hanyalah keuntungan semata-mata. Kemungkinan ada agenda lain yang tersembunyi yang tidak kita ketahui. Prosedur mereka dalam menerima produk Malaysia juga amat menekan. Begitu banyak ‘fees’ yang dikenakan berbanding dengan pasaraya yang dikelolakan oleh bangsa Malaysia. Mereka terus ingin hidup selesa dengan menggunaka ‘fees’ yang tersembunyi yang tidak dapat dielakkan jika mahukan produk kita dijual dengan larisnya di pasaraya milik mereka.
Pendapat saya bukanlah tidak membenarkan, tetapi kita mesti lah meletakkan had kehadiran pasaraya besar asing demi menjaga keutuhan jaringan pengeluar, pembekal dan pengedar di Malaysia. Lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan berbanding tawaran pekerjaan yang akan mereka sediakan. Buatlah kajian secara terperinci dan lihatlah dengan mata hati.
Dalam kesejukan yang melampau di dalam bilik tersebut, saya merasakan seperti telah melepaskan sesuatu yang terbuku dihati. Walau apapun keputusan kerajaan, saya perlu pasrah kerana Allah jualah penentu segalanya. Semoga kita akan mewariskan Negara kita dengan kehidupan yang lebih baik dimasa akan datang. Ingatlah sifat seseorang penjajah akan berubah mengikut zaman dan bagi saya kehadiran mereka yang berlebihan-lebihan sebagai lambang penjajahan zaman moden dan tak salah kalau saya umpamakan sebagai ‘silent killer’.
Wallahhua’lam.
Wasalam. |